Polis Beaufort Berjaya Berkas 2 Orang Pencuri Kabel TM

Polis Beaufort Berjaya Berkas 2 Orang Pencuri Kabel TM

0
SHARE
DUA (2) orang suspek curi kabel Telekom Malaysia (TM) dalam tahanan Polis Daerah Beaufort...

BEAUFORT, SABAH – Polis daerah berjaya memberkas DUA (2) orang pencuri kabel Telekom Malaysia (TM) ekoran serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tamalangalong Weston, di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 18 dan 25 tahun mengaku sebagai dalang disebalik kecurian kabel sepanjang 5,500 meter dari Jalan Sipitang – Beaufort berhampiran Kampung Bukau dan Jalan Kilang Sawit Borneo Samudera Sdn. Bhd.

Katanya kes pertama dilaporkan berlaku pada jam 4.33 petang, 9 Disember lalu apabila pihak TM mendapati kabel milik syarikat hilang dan mengakibatkan gangguan perkhidmatan.

“Hasil siasatan, dua pekerja TM mendakwa ternampak sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hijau bergerak meninggalkan kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan…

“Kenderaan berkenaan dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pekerja TM yang membuat rondaan di kawasan tempat kejadian,” katanya.

Selepas ditahan, kedua-dua suspek membuat pengakuan terlibat dalam enam (6) kes kecurian kabel yang dilaporkan berlaku dalam daerah Beaufort.

Yusoff Zaki berkata kabel yang dicuri itu yang dianggarkan bernilai RM155,375.

“Kedua-dua suspek turut didapati mempunyai kes jenayah lampau membabitkan jenayah dadah…

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.