KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan lawatan kerja setengah hari bagi meninjau situasi bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengiringi Perdana Menteri meninjau kesan bencana serta keadaan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Perdana Menteri memulakan lawatan dengan meninjau kawasan tanah runtuh di Country Heights, Penampang yang menjejaskan sebahagian penempatan penduduk.
PMX kemudian meneruskan kunjungan ke PPS Kolopis di Sekolah Kebangsaan St Paul, Penampang, yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sarapung dan Kampung Kolopis.
Beliau turut meluangkan masa berinteraksi dengan mangsa di PPS Kampung Sarapung bagi mendengar sendiri luahan dan keperluan mereka.
Selain itu, Anwar dibawa meninjau kesan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu, yang menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan dan infrastruktur di kawasan tersebut.
Terdahulu, Anwar tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Tanjung Aru, kira-kira jam 2.15 petang dengan pesawat khas.
Ketibaan beliau disambut oleh Hajiji bersama barisan kepimpinan negeri sebelum menerima taklimat mengenai perkembangan terkini bencana daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.






