Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman
KOTA KINABALU, 20 September – PKR Sabah kesal dengan tindakan pimpinan WARISAN yang memilih untuk mengadakan program politik dalam saat rakyat sedang meratap kerugian dan kehilangan akibat banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di negeri ini.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata parti itu lebih mementingkan agenda politik sempit berbanding kebajikan rakyat.
“Janganlah ada yang membina istana di atas pusara. Penderitaan rakyat bukan pentas untuk dijadikan pesta politik.
“Dalam keghairahan menunding jari kepada orang lain, WARISAN perlu menilai kegagalan sendiri ketika berkuasa. Rekod pentadbiran WARISAN sarat dengan keputusan yang membebankan rakyat.
“Antaranya, penamatan sembilan konsesi kontraktor air yang telah mengakibatkan saman terhadap Kerajaan Negeri sehingga RM315.2 juta, satu beban besar yang akhirnya ditanggung oleh rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata pada 2019, tindakan WARISAN menamatkan kaedah Project Delivery Partner (PDP) dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo telah menjejaskan model kewangan dan kelancaran pelaksanaan projek, sekaligus menyumbang kepada kelewatan dan ketidakpastian terhadap projek infrastruktur yang hingga sekarang belum dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sabah.
Jelasnya, di saat negara berhadapan ketidaktentuan politik dan ekonomi dunia dengan isu seperti tarif perdagangan Amerika Syarikat, perang di Timur Tengah, serta rusuhan di beberapa negara luar, yang diperlukan rakyat hari ini adalah kesatuan dan kestabilan.
“Semua pimpinan sewajarnya lebih peka terhadap nasib rakyat yang sedang dalam kesusahan, bukannya mengambil kesempatan dengan politik murahan demi kepentingan sempit.
“Kami menegaskan fokus utama ialah membina negeri dan negara, bukan merobek semangat solidariti rakyat dengan retorik politik kepartian yang dangkal,” katanya.
Terdahulu, PKR Sabah menzahirkan dukacita dan solidariti penuh bersama semua mangsa banjir dan tanah runtuh yang terkesan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah turun padang meninjau kawasan yang terjejas.
Sejumlah RM21 juta peruntukan segera diumumkan untuk pembaikan segera kemudahan asas dan disalurkan terus kepada mangsa banjir di Sabah.






