KOTA BELUD, SABAH – Setelah hampir setahun menanti, tiga keluarga kini berlapang dada apabila menerima kunci rumah
selepas rumah mereka dihanyutkan banjir pada bulan Jun tahun lepas (2020).
Hari ini, mantan ADUN Usukan Datuk Japlin Akim menyerahkan kunci rumah PPRT kepada penerima iaitu Sani Jeman, Ledah Ajah dan Fereiji Manjah daripada Kampung Lebak Engad, Kota Belud.
Menurut Japlin, rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah dipohon melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan peruntukan RM180 ribu di mana kos anggaran setiap rumah PPRT tersebut bernilai RM60 ribu.
Peruntukkan itu dipohon daripada KPLB semasa beliau masih menjadi ADUN Usukan tahun lepas.
Katanya projek pembinaan rumah PPRT itu terlewat di sebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam majlis itu, Japlin yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud turut menyerahkan barangan makanan kepada keluarga terbabit.