KPDN Tumpaskan Aktiviti Penyelewangan Minyak Diesel Bersubsidi Bernilai RM102,000

KPDN Tumpaskan Aktiviti Penyelewangan Minyak Diesel Bersubsidi Bernilai RM102,000

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai sekitar RM102,000 di Telok Panglima Garang, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam dalam kenyataan berkata serbuan dilakukan di sebuah premis tanpa nama yang disyaki menjalankan kegiatan terbabit sekitar jam 1:15 petang

“Ketika serbuan dilakukan tiada individu atau orang ditemui berada di dalam premis terbabit namun terdapat sebuah lori yang didapati telah diubahsuai dan dua buah tangki (skid tank) yang berada di dalam premis terbabit…

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori dan tangki (skid tank) terbabit, pasukan serbuan telah menemui minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 23,325 liter selain pam bermotor, sebuah kereta dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Minyak diesel, kenderaan lori dan kereta serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 196.

Katanya, ini bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

“KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahu atau kedua-duanya sekali

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613)…

“Ia membabitkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

“KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.