KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri dijangkakan bakal melakukan rombakan kabinet sekali lagi bagi tujuan mengisi jawatan empat pembantu menteri yang sebelum ini diterajui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah yang menyokong Datuk Seri Bung Moktar.
Ia membabitkan ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan yang sebelum ini memegang portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin yang menerajui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Portfolio mereka masing-masing diambil alih ADUN Membakut yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohd Arifin Arif (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah) dan Datuk Christina Liew mewakili PH Sabah (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah).
Walau bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga dalam pada itu enggan mengulas sekiranya LIMA (5) ADUN UMNO-BN yang menyokong beliau akan diterima dalam GRS jika dikenakan tindakan oleh UMNO.

Ia berikutan pindaan perlembagaan parti itu semalam berhubung tindakan terhadap pemimpinnya menyokong gabungan lain yang tidak disertai UMNO BN.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata kedudukan empat ADUN UMNO yang masih dalam kabinet negeri Sabah itu juga bakal diketahui tidak lama lagi.
Beliau mahu memberi tumpuan perkara berkaitan kepentingan negeri disamping menjelaskan memerlukan ruang untuk berfikir dalam mentabdir Sabah.
Menjawab soalan pemberita berkenaan status menteri dari kalangan ADUN UMNO yang didakwa menyokong gerakan menggulingkan kerajaan negeri, baru-baru ini, Hajiji menjelaskan tindakan bakal diambil terhadap mereka.
“Bagi saya ruang untuk berfikir bagaimana kita mentadbir negeri ini dengan baik dan sebagainya. Bagi saya, kita perlu lihat segala aspek dalam soal seumpama ini…
“Jadi, jangan bimbang. Kita akan ambil tindakan yang sepatutnya. Apa yang penting ialah kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-2 Universiti College Sabah Foundation (UCSF) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu turut diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang menyatakan pergolakan politik di Sabah masih belum selesai.
“Ya, itu dia. Dialah punya cerita,” katanya.
Disamping itu, Hajiji juga turut memberitahu pihaknya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rombakan kabinet baharu Sabah.





