KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) kini merekodkan keahlian yang mencecah seramai 30,000 orang selepas lebih sebulan permohonan untuk menyertai pertubuhan terbabit dibuka kepada orang ramai.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, susulan pencapaian jumlah keahlian seramai itu, MN harus memulakan penubuhan perhubungan negeri dan kawasan.
“Penubuhan Perhubungan negeri akan bermula di Sabah pada 5 Februari ini.
“Ia kemudian akan disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu pautan yang dimuat naik dalam Facebook.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu itu yang mula membuka keahlian kepada orang ramai mulai 10 Disember dan pada 15 Disember keahliannya hampir mencecah 20,000 orang.
Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, pertubuhan itu kekal sebagai sebuah NGO dan tidak terbabit dalam gerakan politik.
Katanya, MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.
Dalam pada itu, Annuar turut memaklumkan empat negeri membabitkan Pahang, Sabah, Selangor dan Sarawak sudah mempunyai Pengerusi Perhubungan.
“Sukacita saya mengumumkan Pengerusi Perhubungan MN Pahang ialah Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.
“Pengerusi Perhubungan MN Sabah adalah Jasmit Japong, Datuk Zuraida Kamarudin (Selangor) dan Datuk Justine Jinggot (Sarawak),” katanya.