Lembaga Disiplin UMNO Bakal Teliti Tindakan Terhadap KJ

Lembaga Disiplin UMNO Bakal Teliti Tindakan Terhadap KJ

0
SHARE
Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Sumber Foto: Laman Media Sosial Facebook Presiden UMNO)

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin UMNO bakal meneliti tindakan terhadap Khairy Jamaluddin yang menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Memetik sumber Berita Harian, ia susulan dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata wujudnya usaha membawa masuk perwakilan import berkenaan bagi memastikan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, diluluskan dalam PAU 2022.

Mengulas  berhubung dakwaan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan mana-mana individu yang tidak memiliki kad akses sebagai perwakilan UMNO yang sah, tidak dibenarkan masuk dalam Dewan Merdeka.

Katanya, dakwaan mengatakan wujud perwakilan tidak sah dalam perhimpunan itu khususnya ketika undian usuk tambahan berkenaan, telah diteliti oleh Penasihat Undang-Undang UMNO yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk meneliti tindakan terhadap Khairy kerana menyebarkan dakwaan palsu itu.

“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin UMNO dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya (Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau ketika membuat dakwaan itu berkata, ‘tag’ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.