SAGA X: Hanssen Yap Pecah Rekod 100M

SAGA X: Hanssen Yap Pecah Rekod 100M

0
SHARE
Saga x
Hanssen (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Dexter(kiri) dan Pengiran Aidil(kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Atlet Tambunan Hanssen Yap Soon Fu, 18, berjaya memecahkan rekod 100 meter pada Sukan Sabah Edisi Ke-10 kali ini dengan catatan masa 10.46 saat.

Pelari yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan ini berjaya memadam rekod lama 10.76 saat milik peserta Sandakan Mohammad Nor Musyaraf Mohd Sari pada 2019.

“Semoga kemenangan saya pada hari ini menjadi pemangkin semangat terus cemerlang agar impian untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Peru tahun hadapan menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui media.

Turut memecah rekod kejohanan ialah pemenang pingat perak, Dexter Bedie juga dari Tambunan dengan catatan masa 10.49 saat dan pingat gangsa pula dimenangi pelari dari Sandakan, Pengiran Aidil Auf Hajam dengan catatan masa 10.54 saat.

Sementara itu, Tambunan memiliki kemenangan berganda apabila atlet 100 meter wanita mereka Theresia Anastasius, 16, turut beraksi cemerlang apabila berjaya meraih pingat emas acara tersebut dengan catatan masa 13.16 saat.

Pingat perak dimenangi pelari Tuaran, Esther Joanne Ailos dengan rekod 13.46 saat manakala gangsa milik pelari Penampang, Dayangku Nursyafinaz Syazirah dengan catatan masa 13.50 saat.

Hadir sama di Kompleks Sukan Tuaran, pada Selasa ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Mohammad Firdaus Kassim. — JABATAN PENERANGAN SABAH