RANAU, SABAH – Hari ketiga acara memanah Sukan Sabah Edisi 10 menyaksikan 64 pemanah menyertai pusingan kalah mati recurve individu.
Daripada pusingan tersebut, pemanah Kota Kinabalu Evan Rich Chong Qi Wei akan menentang rakan sepasukan Quik Chern Xin bagi merebut pingat emas dan perak, Khamis ini.
Bagi kategori wanita pula, Zoey Lee Joa Yin (Kota Kinabalu) juga akan menentang pemanah Tawau Sharon Chung Yi Wen bagi penentuan juara dan naib juara.
Manakala, bagi kategori recurve berkumpulan, dominasi pasukan Kota Kinabalu terus menyerlah apabila pasukan lelaki dan wanita mara ke peringkat akhir.
Sementara itu, Jurulatih Pasukan Tawau, Sulaiman Sadude yang menyandarkan harapan kepada dua anak didiknya akhirnya berpuas hati apabila salah seorang iaitu Sharon Chung Yi Wen, 17, berjaya ke peringkat akhir.
Berbeza dengan peserta dari pasukan Putatan Callen Hudson Gumbilai Songpin, 14, yang pernah memenangi dua emas pada Presiden Cup tahun 2022 kategori Novis menganggap kegagalannya sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki dan menajamkan lagi kemahirannya. — JABATAN PENERANGAN SABAH