PENAMPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes curi dalam premis membabitkan kedai emas di sekitar daerah Penampang dan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang pada 31 Mac lalu, kira-kira jam 1 petang, di sebuah bangunan komersil di Kota Kinabalu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes curi dalam premis melibatkan kedai emas di sekitar daerah Penampang dan Putatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan enam utas gelang tangan emas pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai kira-kira RM50,000 mengikut harga pasaran.
Selain itu, polis turut merampas sebuah kenderaan, telefon bimbit, pakaian serta beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.
Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah harta benda serta penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan.
Sehubungan itu, Sammy menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau mencurigakan.
“Orang ramai diseru untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak polis bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.






