Usahawan Lahad Datu Sasar Jadikan Sabah Hab Kenderaan Elektrik

Usahawan Lahad Datu Sasar Jadikan Sabah Hab Kenderaan Elektrik

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan berasal dari Lahad Datu, Sabah menyuarakan hasrat untuk menjadikan negeri itu sebagai hab kenderaan elektrik (EV) komersial di rantau ini, sekali gus menyokong agenda mobiliti hijau negara serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan.

Pengasas New Energy Valley Sdn Bhd, Andrew Thu, 52 berkata idea tersebut lahir daripada kesedaran terhadap isu perubahan iklim serta keperluan mengurangkan pencemaran udara yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, projek pembangunan jenama EV komersial tempatan itu mula digerakkan sejak tahun 2023 dengan matlamat membantu Malaysia membangunkan teknologi kenderaan mesra alam sendiri.

“Banyak pencemaran udara sebenarnya datang daripada kenderaan komersial seperti lori dan kenderaan logistik yang beroperasi hampir 24 jam. Oleh itu, penukaran kepada kenderaan elektrik bagi sektor ini boleh memberi impak besar kepada pengurangan pencemaran,” katanya ketika ditemui.

Andrew yang kini menetap di Kuala Lumpur berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab industri EV memandangkan negeri itu memiliki keluasan tanah yang mencukupi serta kedudukan strategik bagi pembangunan rantaian bekalan industri tersebut.

Menurutnya lagi, kerjasama strategik dengan syarikat dari China yang mempunyai kepakaran dalam teknologi EV juga mampu mempercepatkan pembangunan industri berkenaan di Malaysia.

“Ketika ini China merupakan antara peneraju teknologi EV dunia. Dengan kerjasama strategik, Malaysia khususnya Sabah boleh memanfaatkan kepakaran tersebut bagi membangunkan industri tempatan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Andrew berkata usaha menjadikan Sabah sebagai hab EV bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon, malah berpotensi membuka peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi negeri itu.

Beliau turut memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak berkepentingan di Sabah bagi membincangkan potensi pelaksanaan projek tersebut serta mendapatkan sokongan kerajaan negeri.

Sementara itu, perkembangan industri EV di Sabah turut menunjukkan momentum positif apabila negeri itu sebelum ini telah memperkenalkan kemudahan stesen pengecas EV awam pertama di Kota Kinabalu bagi menyokong penggunaan kenderaan elektrik.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha awal dalam membangunkan ekosistem mobiliti hijau di negeri berkenaan.

Selain itu, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) turut memperkenalkan garis panduan berkaitan stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) bagi menyokong perkembangan penggunaan EV serta memastikan pembangunan infrastruktur berkaitan dilaksanakan secara teratur di Sabah.

Di peringkat nasional pula, kerajaan menyasarkan pembangunan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025, sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan peralihan kepada mobiliti rendah karbon dan menarik pelaburan dalam industri EV.

Andrew berkata, sekiranya mendapat sokongan kerajaan negeri, Sabah berpotensi muncul sebagai hab kenderaan elektrik komersial pemanduan sebelah kanan yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan, malah boleh menembusi pasaran serantau seperti Indonesia, Filipina, Australia dan New Zealand.

Menurutnya, langkah tersebut berupaya meletakkan Sabah sebagai pemain penting dalam industri mobiliti hijau di peringkat Asia Tenggara pada masa hadapan.