
KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengenakan kompaun ke atas 52 individu yang didapati membuang puntungan rokok dan bahan buangan lain di beberapa kawasan sekitar sini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, seramai 13 anggota dari Unit Kawalan Selia dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah digerak untuk mendidik awam yang masih khilaf dalam menjaga kebersihan.
“Pasukan kerja tersebut telah menjalankan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 Bandaraya Kota Kinabalu Pindaan 2005 bermula 1 hingga 9 Disember lalu…
“Lokasi termasuk bangunan pusat beli-belah Center Point, kawasan komersial Kampung Air dan Inanam Business Center (IBC),” katanya sambil menambah operasi dijalankan dalam dua syif sehingga 10 malam.
Katanya, 42 kompaun daripada jumlah tersebut telah dibayar serta merta manakala baki selebihnya, 10 kompaun lagi, merupakan kompaun berstatus bertempoh.
“Operasi ini akan terus dijalankan untuk memberi kesedaran kepada orang awam yang masih degil dan khilaf dalam menjaga kebersihan bandaraya terutama sekali di tempat-tempat awam…
“DBKK menyeru agar warga bandaraya lebih bijak membelanjakan wang untuk perkara yang lebih berfaedah dari menggunakannya membayar kompaun atas kesalahan yang boleh dikawal dengan mudah oleh setiap individu.
“Gunakanlah kemudahan tong-tong sampah yang disediakan untuk membuang sampah anda,” tegasnya.