KOTA KINABALU, SABAH – Kerja menampal di semua jalan berlubang di Jalan Telupid-Sandakan sedang giat dilakukan ketika ini.
Presiden Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datuk Fadli Fathullah berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memaklumkan berhubung kerja-kerja membaiki jalan yang berlubang di kawasan terbabit.
“Kerja-kerja menampal di kesemua jalan yang berlubang sedang dilakukan serta merta menggunakan ‘crusherrun’ yang di kendalikan oleh kontraktor Pan Borneo Highway (PBH) selepas mengambil alih konsesi tersebut daripada Lintasan Resorces Sdn Bhd…
“Sementara menunggu cuaca yang kurang baik ketika ini, pihak PBH akan terus memantau serta menimbus jalan-jalan yang berlubang sementara menunggu hujan reda dan kerja-kerja menampal dibuat dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial sebanyak 10 kenderaan tersadai akibat rosak di tepi jalan berikutan keadaan Jalan Telupid-Sandakan yang berlubang.
Perkara itu kemudian mendapat perhatian daripada warganet yang meminta jalan itu dibaiki segera kerana ia adalah laluan utama yang digunakan pengguna jalan raya setiap hari.
Dalam laporan media sebelum ini, jalan berkenaan sudah dipertanggungjawabkan kepada TIGA (3) syarikat yang mengambil alih untuk menyelenggara jalan terbabit.
Sementara itu, mengulas berhubung maklumat yang diterima pihaknya berkaitan jalan rosak di Hospital Kudat yang tular di media sosial baru-baru ini, beliau mendapat pengesahan bahawa jalan itu bukan di bawah tanggungjawab JKR Sabah.
“Ia adalah di bawah tanggungjawab Hospital Kudat,” katanya.
Sebelum ini turut tular di media sosial keadaan jalan di hospital berkenaan yang tidak diselenggara dan warganet turut mempersoalkan sama ada laporan sudah dibuat berhubung masalah itu.