KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri meriah dengan kehadiran lebih 7,000 pengunjung.
Sambutan bertemakan Malaysia Madani: ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ menyaksikan kehadiran masyarakat pelbagai bangsa berhimpun di Padang Merdeka Kota Kinabalu bagi meraikan perisytiharan Sabah menyertai pembentukan Malaysia pada 60 tahun yang lalu.
Keadaan cuaca yang baik sebelum acara sambutan berlangsung membenarkan kehadiran pelbagai golongan masyarakat memenuhi Padang Merdeka Kota Kinabalu sejak jam 5.00 petang bagi menyaksikan persembahan segmen pertama iaitu hiburan daripada artis-artis tempatan antaranya Razali Kulintangan, Sharif Zainal, Clarice John Matha, Reynald Guntabid dan diiringi oleh pemuzik daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).
Seperti lazimnya, sambutan acara rasmi dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni pada jam 8.00 malam dengan Upacara Menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Markas Armada Timur dengan diiringi lagu kebangsaan, ‘Negaraku’ dan lagu kebesaran negeri, ‘Sabah Tanah Airku’ oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Pengarah Pancaragam PDRM Kontinjen Sabah, Inspektor Willbonoh Zain.
Menyusul selepas itu adalah lagu ‘Sabah Maju Jaya’ diikuti Tarian Sambut Tamu oleh 60 orang artis budaya daripada LKNS.
Aturcara diteruskan dengan ucapan aluan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah, disusuli ucapan penyempurnaan sambutan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Sabah.
Selesai ucapan, Christina kemudiannya menjemput Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Joachim dan isteri, Datin Linda Ewit untuk Upacara Memotong Kek Hari Malaysia 2023, sambil diiringi Timbalan Setiausaha Tetap II KPKAS, Alesia Sion.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Norani Salleh, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya dan isteri, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag. Mohd Saufi, Menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah dan isteri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan isteri.
Seterusnya, tayangan montaj Hari Malaysia yang bermula pada 16 September 1963 dan montaj perjalanan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), sebelum Tun Juhar menerima Jalur Gemilang daripada Ketua Konvoi KMJG 2023, Janisah Mohd Noor yang juga Pengarah Penerangan Sabah untuk dikibarkan oleh empat anggota TLDM yang diketuai oleh Bintara Kanan PAP (GI) Rudie Lasarib dan Mohd Ridwan Mohd Razlan.
Selain persembahan khas, Malaysia Madani: ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ oleh 150 penari budaya LKNS, artis-artis tempatan seperti Esther Applunius, Debra Sia, Nurain Asyikin,Rosario Bianis, Francis Landong, Edmund Chan dan Salmah Andi Asis turut menyerikan persembahan dengan lagu-lagu patriotik sebelum pertunjukan bunga api sebagai penutup tirai sambutan bagi segmen acara rasmi. — JABATAN PENERANGAN SABAH