Giat Jaga Kebajikan Anggota – Muhammad Tasan

Giat Jaga Kebajikan Anggota – Muhammad Tasan

0
SHARE
Ums
Tun Juhar (tengah) bersetuju menjadi penaung Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Pasukan Polis Hutan Batalion 16 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Pasukan Polis Hutan Batalion 16 giat menjaga kebajikan anggotanya.

Presidennya, Muhammad Tasan berkata, jumlah keahlian berdaftar persatuan yang ditubuhkan dua tahun lepas tersebut kini adalah 300 orang, dan pihaknya mempelawa para pesara polis untuk menyertai persatuan kebajikan tersebut.

“Sebelum ini persatuan memberi sumbangan sebanyak RM500 kepada mana-mana ahli yang dimasukkan ke hospital manakala yang meninggal dunia diberi bantuan RM1,000 kepada waris.

“Cuma baru-baru ini jumlah tersebut diubah sedikit atas dasar kekangan kewangan, di mana setakat ini kita mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dan kita juga sedang berusaha mendapatkan dana sendiri, mungkin melalui projek jualan buku, cenderahati dan sebagainya.

“Selama ini, persatuan juga ada mendapat bantuan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan kita mengalu-alukan mana-mana syarikat atau pihak yang ingin menghulur sumbangan,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Persatuan tersebut mengekalkan nama Batalion 16 sebagai simbol perjuangan dahulu di mana terdapat anggota yang pernah bertugas di era pengganas Komunis, disamping berjuang bersama-sama pasukan keselamatan yang lain di Sarawak.

Terdahulu, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat daripada Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau yang bertujuan membincangkan hubungan bilateral dan potensi kerjasama. — JABATAN PENERANGAN SABAH