PENSIANGAN, SABAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan pembinaan sebuah jambatan baharu bagi menggantikan yang terputus ekoran bencana alam yang melanda Kampung Salinatan awal bulan ini (5 Sept).
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Jospeh Kurup berkata telah membentangkan laporan pihak Pejabat Derah Nabawan yang merangkumi kerosakan dan anggaran kos dengan Anwar pada Khamis lalu.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan telah melaksanakan penyelenggaraan sementara dengan serta merta agar penduduk kampung dapat menggunakan jalan utama tersebut dan telah menambah kekuatan jentera berat yang beroperasi tiga hari selepas kejadian.
“Hasil tinjauan mendapati berlaku kerosakan jalan di Jalan Panabaan – Pensiangan yang berpunca daripada bencana alam akibat hujan lebat yang tidak diduga dan telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi sepanjang jalan tersebut sehingga jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Saya sentiasa memantau situasi di kawasan kejadian dan telah mencadangkan kepada Pejabat Daerah Nabawan agar lokasi sekitar kejadian bencana ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat menghulurkan bantuan segera,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan supaya dapat berhubung dengan Pegawai Daerah Nabawan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah bagi tujuan penyelarasan serta memastikan bantuan tersebut sampai kepada penerima.