Batu Sumpah Muzium Warisan Keningau Berpotensi Tarik Pelancong

Batu Sumpah Muzium Warisan Keningau Berpotensi Tarik Pelancong

0
SHARE
Batu sumpah
Jeffrey (tengah) bergambar kenangan di depan Batu Sumpah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KENINGAU, SABAH – Batu Sumpah di Muzium Warisan Keningau berpotensi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, Batu Sumpah menyimpan sejarah penting yang turut dijadikan rujukan golongan bijak pandai menganalisis pembentukan Malaysia.

“Batu Sumpah Keningau merupakan sejarah agung dan bukti fizikal persetujuan rakyat pedalaman dalam pembentukan negara ini dengan penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura serta Tanah Melayu.

“Selain itu, pembinaannya dilakukan mengikut adat istiadat anak negeri di pedalaman Sabah yang percaya monumen berkenaan mempunyai semangat yang perlu dijaga untuk mengelakkan bala bencana,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-60 dan History @ Sabah Museum Sempena Hari Malaysia 2023 diperkarangan Muzium Warisan Keningau pada Jumaat.

Pada majlis tersebut, seramai 37 penderma yang menyumbangkan koleksi gambar bersejarah, pakaian seragam lama polis dan St John Ambulance, baju tradisi serta koleksi persendirian kepada Muzium Warisan Keningau menerima sijil penghargaan.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berharap pelancongan berasaskan sejarah dapat dipromosikan secara agresif.

“Kita terlalu banyak mempromosikan pelancongan berasaskan keindahan dan keunikan alam semulajadi sehingga terlepas pandang kepelbagaian serta keunikan warisan sejarah negeri ini yang juga mampu menjadi tarikan kepada yang ingin tahu dan mengkaji peristiwa penting pembebasan Sabah sehingga terbentuknya Malaysia.

“Korea Selatan dan Vietnam berjaya memanfaatkan sejarah perang dan menarik jutaan pelancong terutamanya dari Amerika datang ke negara mereka semata-mata untuk memahami serta mengetahui peristiwa di sebalik sejarah perang negara tersebut,” ujar beliau.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng dan Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Arif Abd Hamid. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ