BEIJING – Seorang lelaki terpaksa meminta bantuan bomba untuk membantu mengeluarkan cawan bekam yang melekap di badannya ketika mendapatkan rawatan tradisional berkenaan.
Media melaporkan, lelaki yang dikenali sebagai Hu itu membuat rawatan bekam di rumahnya di wilayah Wuhan pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, isterinya yang membuuat rawatan itu melekapkan cawan bekam terlalu kuat di badannya hingga menyebabkan ia tidak dapat ditanggalkan.
Isteri Hu yang panik menggunakan pelbagai cara untuk menanggalkan cawan bekam berkenaan termasuk menggunakan tukul tetapi gagal.
Hu yang kesakitan terus bergegas ke sebuah klinik berhampiran tetapi doktor mengarahkannya pergi ke hospital kerana keadaannya yang serius.
Apabila tiba di hospital, petugas perubatan menggunakan pelbagai cara untuk menanggalkan cawan itu tetapi tidak berjaya.
Selepas beberapa lama berusaha doktor akhirnya mengalah dan terpaksa menghubungi bomba untuk meminta bantuan.
Selang beberapa minit, satu pasukan yang terdiri daripada empat anggota bomba tiba di hospital dengan membawa alatan memotong.
Anggota bomba itu kemudian memotong cawan itu menggunakan gergaji besi untuk menanggalkan peralatan berkenaan.
Hu berkata, dia berasa lega selepas cawan itu berjaya ditanggalkan dan tidak mahu mendapatkan rawatan bekam lagi.