Negeri Lain Di Malaysia Patut Contohi Sabah Di Bawah Pimpinan Kerajaan GRS...

Negeri Lain Di Malaysia Patut Contohi Sabah Di Bawah Pimpinan Kerajaan GRS – HUAZONG

0
SHARE
Goh (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Masidi (kanan)...

KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Persatuan Cina Malaysia (HUAZONG) memuji kerajaan negeri Sabah atas kemurahan hati dengan memperuntukkan RM47 juta untuk badan agama bukan Islam serta sekolah vernakular, misi dan sekolah bebas di negeri ini bagi tahun ini.

Presidennya, Tan Sri TC Goh menyifatkan peruntukan tersebut yang merupakan peruntukan terbesar yang seumpamanya setakat ini.

Katanya langkah itu tepat pada masanya dan sudah tentu akan memberi manfaat kepada lebih banyak pertubuhan masyarakat sivil (CSO) di negeri ini terutamanya apabila ramai daripada mereka kini sedang bergelut untuk kekal bertahan di kala pandemik COVID-19.

Beliau juga berpendapat bahawa tindakan baik itu harus dicontohi oleh kerajaan negeri lain.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan kewangan kepada sekolah vernakular dan mubaligh, gereja dan kuil bagi tahun 2021 serta penyerahan kepala singa sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, kelmarin.

Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, bagi pihak Ketua Menteri.

Goh menyatakan bahawa peruntukan pembiayaan untuk sekolah vernakular dan mubaligh, gereja dan kuil telah meningkat secara beransur daripada RM 33 juta semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) kepada RM 43 juta apabila kerajaan gabungan pimpinan Warisan mengambil alih pada 2018 dan kepada RM43 juta bagi tahun 2021 apabila gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih teraju dan kini ia ditingkatkan lagi kepada RM47 juta.

Beliau turut mengalu-alukan dan memuji kerajaan negeri yang memperuntukkan RM1 juta untuk pembelian kepala singa yang akan diagihkan kepada pelbagai persatuan dan kumpulan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh negeri.

Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sabah (FCAS) mengakui bahawa Persekutuan itu adalah salah satu penerima peruntukan tersebut di mana ia akan menganjurkan karnival Tahun Baru Cina pada 22 hingga 29 Januari dan perhimpunan Tahun Baru Cina pada hari ke-5 Tahun Baru Cina yang jatuh pada 5 Februari.

“Saya turut mengalu-alukan dan menyokong peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM164.12 juta untuk pelaksanaan program pembangunan pendidikan dan agama di bawah bajet negeri tahun ini…

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan dan kebajikan semua kaum dan agama di negeri ini,” katanya dalam sebuah kenyataan kelmarin.

Selain itu, beliau turut memuji kerajaan negeri yang memperuntukkan RM1.82 juta kepada 83 sekolah rendah Cina dan lapan (8) sekolah bebas Cina di negeri ini pada akhir tahun lalu di mana setiap sekolah menerima RM20,000 untuk pembelian alat pelindung diri (PPE) selain perisian dan perkakasan komputer.