UWSS Kasigui Tambah Bekalan Air 5MLD, Beri Manfaat Kepada Penduduk Putatan

UWSS Kasigui Tambah Bekalan Air 5MLD, Beri Manfaat Kepada Penduduk Putatan

0
SHARE

PENAMPANG: Masalah kekurangan bekalan air khususnya di Putatan dijangka dapat diselesaikan selepas dua projek peningkatan bekalan jangka pendek dan sederhana siap pada tahun depan dan 2026.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah pembinaan Skim Bekalan Air Segera (UWSS) Kasigui yang berupaya mempertingkatkan pengeluaran tambahan sebanyak lima juta liter sehari (MLD) bagi tujuan jangka pendek.

Selain itu katanya, untuk jangka sederhana, kawasan Putatan juga akan turut mendapat limpahan 10 MLD menerusi pembinaan Loji Rawatan Ari (LRA) Kogopon dua yang dijangka siap pada 2026.

“UWSS Kasigui ini adalah tambahan kapasiti lima MLD bagi kawasan Putatan dan dengan siapnya loji ini maka Putatan akan mendapat lima MLD yang dijangka siap April tahun depan.

“Sudah tentu ini akan melegakan masalah bekalan air yang dihadapi di beberapa kawasan di daerah Putatan dan akan memenuhi permintaan lebih kurang 25,000 orang penduduk.

“Ini adalah selaras dengan perkembangan perkembangan daerah Putatan yang kian membangun terutama selepas Pasca COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah UWSS Kasigui di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut mengambil inisiatif bagi melaksanakan satu lagi prjek bagi mengeluarkan 10 MLD di UWSS Kasigui.

Katanya, proses pelaksanaan itu kini sedang menanti kelulusan Notis Perubahan (NOC) dan berharap agar ianya dapat dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

“Jadi ini bererti untuk masa pendek, jumlah bekalan air terawatt di kawasan Putatan dan juga Kota Kinabalu sepatutnya dapat kita penuhi,” katanya.