SESB Mungkin Buat Catuan Ekoran Penutupan Stesen Janakuasa Rugading

SESB Mungkin Buat Catuan Ekoran Penutupan Stesen Janakuasa Rugading

0
SHARE
Sesb
Kerja-kerja penyenggaraan di Stesen Janakuasa Rugading ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memastikan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal stabil berikutan penutupan sebuah stesen janakuasa bebas.

Operator Sistem Grid Sabah dan Labuan,  Adrian Mosigil berkata, pemberhentian set janakuasa berkapasiti besar swasta (IPP) iaitu Stesen Janakuasa Rugading perlu dilakukan bagi membolehkan penyelenggaraan bagi memastikan ianya lebih berdaya harap pada masa akan datang.

“SESB menerima makluman mengenai kerja-kerja penyenggaraan itu dijalankan oleh Stesen Janakuasa Rugading bermula pada 25 Mei, 2024 sehingga 2 Jun, 2024,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata berikutan penutupan itu, Grid Sabah dijangka akan mengalami kekurangan rizab penjanaan yang mungkin akan menyebabkan SESB melaksanakan catuan bekalan secara berjadual.

Namun katanya SESB akan memastikan gangguan yang minima di pihak pengguna.

“SESB sedaya upaya akan memastikan tiada catuan bekalan akan berlaku, namun sekiranya catuan bekalan perlu dilaksanakan, beberapa daerah secara bergilir-gilir pada kadar yang minima bertujuan menstabilkan sistem grid elektrik negeri ini dan mengelakkan keseluruhan Sabah dan Labuan mengalami gangguan bekalan,” katanya.

Secara purata, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah dan W.P Labuan adalah sekitar 970 hingga 1,160 megawatt (MW).