KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Memetik Berita Harian, agihan itu membabitkan jumlah keseluruhan RM3.22 bilion yang akan memberi manfaat kepada 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, kadar tersebut dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.577 peratus atau RM95.3 juta.
“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi 2024, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik,” katanya pada majlis pengumuman agihan keuntungan TH 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Menurut Zulkifli, agihan berkenaan dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak penubuhan TH 62 tahun lalu, institusi itu telah mengagihkan keuntungan kumulatif sebanyak RM49 bilion kepada para pendeposit.
Dalam perkembangan sama, jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tahun 2025 meningkat kepada RM4.64 bilion berbanding RM4.56 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, aset pelaburan turut mencatat peningkatan daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, sekali gus mencerminkan pertumbuhan portfolio yang berterusan dengan struktur alokasi aset yang seimbang.
Pendeposit boleh membuat semakan agihan keuntungan bermula esok jam 10 pagi menerusi platform THiJARI, selain di kaunter Tabung Haji, Bank Islam dan Bank Rakyat.
Semakan juga boleh dilakukan melalui saluran elektronik rakan strategik perbankan TH termasuk Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.






