RM260,000 Peruntukan PHEKS Untuk Sabah

RM260,000 Peruntukan PHEKS Untuk Sabah

0
SHARE
Abdul rahman
Abdul Rahman (tiga dari kiri) menyampaikan cek cura kepada wakil kesatuan sekerja ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak RM 260,000 diperuntukkan untuk Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) di negeri Sabah bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan tersebut melibatkan 31 daripada 65 kesatuan sekerja yang membuat permohonan.

“Bagi negeri Sabah, pihak JHEKS menerima sebanyak 65 permohonan daripada pelbagai kluster dan sebanyak 31 telah diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM260,014.

“Berbanding tahun lalu, hanya 16 kesatuan sekerja telah berjaya dalam permohonan dengan kelulusan RM176,550.

“Sebanyak enam kluster disediakan untuk dimohon oleh kesatuan sekerja antaranya Latihan dan Program Pendidikan, Kajian Pergerakan Kesatuan Sekerja, Penulisan Ilmiah berkenaan Isu-Isu Perburuhan berkaitan Kesatuan Sekerja, Pembelian Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja PHEKS 2024 Zon Sabah di sini, pada Isnin.

Abdul Rahman turut menekankan bantuan PHEKS adalah salah satu inisiatif bagi memastikan misi strategik 3K Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan ahli-ahli kesatuan sekerja terus dijaga serta diberi keutamaan.

“Berdasarkan kepada misi strategik 3K, besarlah harapan saya supaya setiap kesatuan sekerja di negara ini terus memperjuangkan hak-hak dan kebajikan pekerja agar sentiasa terpelihara dan dilindungi,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 30 kesatuan sekerja menerima cek cura bantuan PHEKS yang disampaikan oleh Abdul Rahman.

Hadir sama, Ketua Pengarah JHEKS, Mohd Asri Abdul Wahap, Pengarah JHEKS Sabah, Pengarah JHEKS Sabah, Noraini Ithnin, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa. — JABATAN PENERANGAN SABAH