Program I PLANT Mampu Wujudkan Bandar Rendah Karbon – Isnin

Program I PLANT Mampu Wujudkan Bandar Rendah Karbon – Isnin

0
SHARE
Isnin
Isnin (lapan dari kanan) bersama Faridah merakamkan gambar kenangan di tapak Ramsar Wetland Kota Kinabalu, Likas ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Inisiatif Penghijauan Lestari Aspirasi Negeri Taman Terindah ( I PLANT) dilancarkan di tapak Ramsar Wetland Kota Kinabalu, Likas, di sini, pada Jumaat.

Merasmikan pelancaran program tersebut, Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata, ia merupakan inisiatif yang menunjukkan semangat kecintaan pada alam semulajadi.

“Program ini merupakan satu inisiatif dan langkah proaktif Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP secara usaha sama di peringkat sekolah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan dan swasta.

“Ia dijalankan bagi mempromosi dan memupuk kesedaran semua pihak secara berterusan tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar dengan mengembalikan semula sumber hijau dalam persekitaran.

“Selain itu, program ini diharapkan dapat memberi kesedaran tentang kepentingan penanaman pokok yang menyumbang kepada peningkatan proses penyerapan karbon serta mencapai matlamat mewujudkan bandar rendah karbon,” katanya.

Menurut Isnin, pelaksanaan program ini adalah bagi menyokong hala tuju yang dinyatakan di dalam The 2030 Agenda For Sustainable Development, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, Dasar Landskap Negeri Sabah serta Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.

“Kesedaran yang ingin diterapkan amat jelas iaitu untuk memelihara alam dan persekitaran semulajadi adalah satu tanggungjawab persendirian dan kolektif, serta tanggungjawab yang perlu berterusan dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Sebelum ini, katanya, inisiatif serupa telah dilaksanakan secara kolaborasi bersama Jabatan Perhutanan Sabah melalui program penanaman pokok bakau di Hutan Simpan Sulaman Lake, Tuaran dan program penanaman pokok teduhan di Hutan Simpan Kudat.

“Pada tahun ini pula, program penanaman pokok adalah di dalam kawasan Tapak Ramsar Kota Kinabalu Wetland, Likas yang berkeluasan kira-kira 24.0 hektar,” katanya.

Sementara itu, Isnin berkata, pada umumnya, hutan bakau termasuk dalam kategori tanah lembap yang berfungsi melindungi pinggir pantai, mengurangkan kadar hakisan dan menjadi habitat bagi hidupan akuatik.

“Hutan bakau ini juga secara tidak langsung membantu menyerap dan mengurangkan kadar karbon yang terhasil daripada aktiviti harian kita seperti gas-gas tercemar seperti nitrogen oksida, ammonia, sulphur dioksida dan juga ozon serta bau-bauan yang kurang menyenangkan.

“Oleh yang demikian, melalui program ini, semua kita dapat menghayati dan mendapat iktibar serta mengambil kira tentang kepentingan hutan bakau dalam perancangan pembangunan negeri Sabah akan datang.

“Melalui program ini juga, inisiatif penanaman ini membantu sasaran negeri dalam mencapai jumlah penanaman pokok sebanyak 1.3 juta pada tahun 2033,” katanya.

Isnin berharap program itu dapat diadakan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penghijauan dalam usaha mengurangkan pemanasan global dan ancaman perubahan iklim.

Sebanyak 100 paya bakau spesis Rhizophora apiculata telah ditanam oleh seramai 60 peserta yang terdrii daripada kakitangan Jabatan Landskap KKTP pada pelancaran program tersebut.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap II KKTP, Faridah Giau; wakil Sabah Wetlands Conversation Society, Mohd Nurazmeel Moktar; Arkitek Jurutera, Nurulhayati Awang More dan Pengerusi Penganjur, Datuk Ar Shahriman Abdullah.