Nur Sajat Sahkan Dirinya Kini Berada Di Australia

Nur Sajat Sahkan Dirinya Kini Berada Di Australia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang kini dalam buruan mengesahkan dirinya sudah berada di Australia.

Nur Sajat memaklumkan dirinya sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia, dan sudahpun secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan Kerajaan Australia, ketika membuat sesi ‘LIVE’ di media sosial miliknya.

Untuk rekod, Nur Sajat sebelum ini ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu, selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.

Ketika ditahan, Nur Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

Memetik laporan BH Online, Nur Sajat dalam perkongsian yang dibuat secara langsung (LIVE) di media sosialnya itu berkata, dia bukanlah melarikan diri, sebaliknya hanya berhijrah.

“Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikatkan,” katanya ketika berinteraksi dengan pengikutnya di media sosial.

Mengulas mengenai status agamanya, Nur Sajat menegaskan, dia masih seorang Muslim.

“I (saya) rasa kalau I (saya) masih Islam…biarlah you (kamu) dengan Islam you (kamu). This is more respect (ini lebih hormat). Tak perlulah you (kamu) nak judge (hakimi) I (saya) ke apa ke. Kita hormat satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Nur Sajat juga menegaskan, dia dalam perancangan untuk membuka perniagaan di negara berkenaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pada 9 September lalu, atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah, namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.