Jualan Diesel Di Sempadan Negara Menurun Hingga 40 Peratus

Jualan Diesel Di Sempadan Negara Menurun Hingga 40 Peratus

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan sehingga 40 peratus sejak penyasaran subsidi dilaksanakan, lapor Harian Metro.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara itu mengesahkan wujudnya aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan sebelum ini.

“Buat masa ini, badan-badan penguatkuasa giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan dan juga sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penerangan Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus bagi minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel.

“Bagi tempoh yang sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 73,000 syarikat melibatkan 223,000 kenderaan pengangkutan barangan darat telah diluluskan untuk menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter setakat 20 Jun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 129,000 ‘fleet card’ telah dikeluarkan oleh syarikat minyak,” katanya.

Bagi Budi Madani pula, katanya, sebanyak 100,000 pemohon di bawah Budi Madani Individu dan Budi Madani Agri-Komoditi diluluskan setakat 19 Jun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 76,000 pemohon telah menerima bantuan tunai bulanan RM200 mereka seawal 10 Jun lalu,” katanya.