Bekalan Air Ke UMS Kembali Stabil Selepas Sambungan Paip Haram Dipotong

Bekalan Air Ke UMS Kembali Stabil Selepas Sambungan Paip Haram Dipotong

0
SHARE

PUTATAN: Bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) stabil selepas 24 sambungan air paip haram berhampiran institusi itu dibongkar beberapa hari lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, rekod harian menunjukkan kapasiti air yang mengalir ke universiti itu stabil.

Bagaimanapun, beliau berkata pelan meter air prabayar untuk setinggan dan pemantauan berkala masih diperlukan berikutan pengalaman lalu pihaknya mengenai penyambungan semula air secara haram hanya beberapa hari selepas ia terputus.

Jelasnya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut bercadang memasang meter air prabayar di kawasan setinggan di sini bagi menghalang penyambungan air haram.

“Ini adalah penyelesaian paling relevan buat masa ini memandangkan setinggan tidak boleh memohon meter air biasa di tanah yang tidak diwartakan dan tidak bergeran, menyebabkan mereka melakukan tindakan haram itu.

“Kami akan cuba melaksanakan inisiatif ini menjelang tahun ini. Bagaimanapun, kaedah itu masih diperhalusi dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutupan Karnival Usahawan Madani Daerah Putatan 2024 di Dataran Pomoi, Putatan, semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, satu lagi inisiatif yang diambil JANS bagi menghalang sambungan air haram berhampiran kawasan setinggan ialah penempatan tangki air statik di empat penempatan seumpama itu di sini sebagai cara peneroka mendapatkan air.

“Kita berharap melalui penempatan tangki statik ini, ia dapat mengurangkan kecenderungan penyambungan air haram yang mengganggu jumlah air yang mengalir melalui penghantaran paip utama jabatan ke tangki utamanya,” katanya.

Mengulas arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menangkap pencuri air termasuk kilang, Shahelmey mendedahkan tiada kilang di sini dihadapkan ke mahkamah setakat ini.

Bagaimanapun, walaupun tiada angka khusus diberikan, beliau berkata beberapa kilang ini telah dikeluarkan surat amaran dan kompaun kerana mencuri air.

“Sebab itu Ketua Menteri kita mahu tindakan lebih tegas, supaya ia boleh dijadikan pengajaran kepada pengguna untuk menghentikan kecurian air ini, sama ada melibatkan setinggan, ahli perniagaan atau industri,” tegasnya.

Hajiji pada 20 Jun lalu telah memberitahu JANS supaya menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya dan membawa pesalah mencuri air ke mahkamah, termasuk kilang.

Beliau mahu kilang curi air ini diadili oleh mahkamah dan bukannya hanya dikenakan kompaun.

Empat hari sebelum itu, Shahelmey memaklumkan bahawa JANS telah membongkar 24 sambungan air haram ke talian penghantaran air utamanya berhampiran Kampung Suang Perai, Sepanggar.

Katanya, sambungan haram itu berhampiran UMS, dan merupakan faktor yang menjejaskan jumlah air yang mengalir ke dalam takungan utama di universiti itu.