Remaja Dirempuh 4WD: Lokasi ‘Hotspot’ Kemalangan, JKR Diminta Laksana Intervensi Segera

Remaja Dirempuh 4WD: Lokasi ‘Hotspot’ Kemalangan, JKR Diminta Laksana Intervensi Segera

0
SHARE

PAPAR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun parah selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 19, Jalan Papar–Kota Kinabalu semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap lokasi berkenaan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Satra Jerie, mengalami patah kaki kiri serta kecederaan di kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Susulan insiden tersebut, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melaksanakan langkah intervensi segera bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.

Saya telah menghubungi Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam bagi memaklumkan situasi tersebut serta memohon agar pihak JKR Sabah mengambil tindakan segera terhadap isu kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Saya juga telah berhubung dengan Jurutera JKR Daerah Papar bagi memastikan langkah intervensi dapat dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya pelajar sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Azrul bersama Pengetua Cemerlang dan Yang Dipertua PIBG SMK Kinarut turut menziarahi mangsa dan mendoakan agar beliau segera pulih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun.

“Pemandu tidak mengalami kecederaan dan kenderaan telah dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.