KOTA KINABALU: Seramai lebih 45 peserta menyertai Kursus Pemurnian Pakaian dan Tarian Etnik Rungus selama dua hari di Mari Mari Cultural Village pada 3 hingga $ Julai lalu bagi memperkukuh pengetahuan serta memelihara keaslian warisan budaya masyarakat Rungus.
Program anjuran Mari Mari Cultural Village itu diadakan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Ritmabayu Dancers dan komuniti Kampung Kobuni.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit, yang merasmikan program itu berkata usaha kolaboratif tersebut penting bagi memastikan warisan budaya Sabah terus dipelihara di samping memperkukuh produk pelancongan budaya negeri.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan teknik pemakaian pakaian tradisional Rungus yang betul, sejarah dan simboliknya, selain mempelajari tarian tradisional Mongigol Sumundai menerusi sesi teori dan latihan praktikal.
Pengarah Program, Roshamidi Roslie berkata pemeliharaan warisan budaya memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, penggiat budaya, industri pelancongan dan komuniti setempat.
“Pakaian dan tarian tradisional merupakan identiti masyarakat Rungus. Program ini bukan sahaja mengajar cara mempersembahkannya dengan betul, malah membantu peserta memahami sejarah dan nilai budaya di sebaliknya,” katanya.
Program berkenaan diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Jessica Majimbun.
Mari Mari Cultural Village berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memelihara warisan budaya masyarakat pribumi Sabah serta memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya yang autentik.






