KOTA KINABALU: Isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol disifatkan sebagai ancaman serius kepada keselamatan awam yang memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek undang-undang, kesihatan awam dan perubahan norma sosial.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Dr. Abdul Rahman Ramdzan berkata, tragedi melibatkan pemandu mabuk bukan sekadar kemalangan biasa, sebaliknya kejadian yang boleh dicegah namun terus meragut nyawa serta meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa.
“Pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah menjejaskan pertimbangan, melambatkan tindak balas dan meningkatkan risiko kemalangan maut. Dari sudut moral dan kesihatan awam, ini adalah risiko yang tidak boleh diterima terhadap pengguna jalan raya yang tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, secara global pengambilan alkohol dikaitkan dengan jutaan kematian setiap tahun, dengan sebahagian besar berpunca daripada kemalangan jalan raya, selain menyebabkan kecacatan kekal serta beban emosi dan kewangan kepada keluarga mangsa.
Beliau menegaskan bahawa langkah pencegahan tidak boleh bergantung kepada hukuman semata-mata, walaupun Malaysia telah memperketat undang-undang berkaitan kesalahan pemanduan mabuk.
“Pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan secara pelbagai peringkat termasuk mengawal akses kepada alkohol, meningkatkan kesedaran awam, penguatkuasaan tegas seperti ujian pernafasan rawak, serta program pemulihan bagi individu yang mengalami ketagihan,” katanya.
Tambah beliau, faktor sosial seperti normalisasi pengambilan alkohol dalam sesetengah kelompok turut menyumbang kepada tingkah laku berisiko, justeru perubahan sikap masyarakat perlu diberi perhatian sama penting dengan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh keperluan memperkukuh keadilan kepada mangsa dan keluarga, termasuk cadangan mekanisme pampasan bagi memastikan pesalah memikul tanggungjawab lebih menyeluruh terhadap kesan yang ditimbulkan.
“Isu ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi mencerminkan nilai yang kita letakkan terhadap nyawa manusia. Setiap kehilangan adalah satu tragedi besar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan melibatkan seluruh masyarakat termasuk agensi kerajaan, penguat kuasa, komuniti dan premis yang menjual alkohol amat penting bagi memastikan usaha pencegahan lebih berkesan dan berterusan.
Katanya, melindungi nyawa di jalan raya bukan sahaja tanggungjawab undang-undang, tetapi juga satu tanggungjawab moral dan kesihatan awam yang perlu dipikul bersama.






