KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan berkata Barisan Nasional (BN) tidak wajar mendabik dada kononnya memajukan Sabah sepanjang 34 tahun mentadbir, kerana negeri ini masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.
“BN bangga dengan Pan Borneo dan SOGIP, tetapi hakikatnya rakyat Sabah belum menikmati kemudahan setaraf Semenanjung,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa BN meletakkan asas kemajuan Sabah.
Mazlan menegaskan Sabah kaya hasil bumi tetapi peluang dimajukan disia-siakan BN.
“Sebaliknya, kerajaan GRS yang baru tiga tahun memerintah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif langsung kepada rakyat serta mempelbagaikan sumber ekonomi negeri,” katanya.
Beliau turut menyeru agar rakyat dan pemimpin politik Sabah agar bersatu serta menolak campur tangan luar dalam urusan negeri.






