Lebih Banyak Kluster Pendidikan Akan Muncul – Masidi

Lebih Banyak Kluster Pendidikan Akan Muncul – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – TIGA (3) kluster baru termasuk kluster pendidikan lagi muncul dan melambungkan jumlah kes baharu kepada 335 kes hari ini.

Jurucakap Perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ianya adalah kenaikan 21 kes daripada semalam.

Kluster Jalan Teritipan di Kota Marudu adalah kluster pendidikan yang melaporkan 38 kes baru dengan jumlah kumulatif 44 kes.

“Kes indeks ialah seorang pelajar tingkatan empat (indeks kes) SMK Tandek 2 yang disahkan positif melalui saringan PCR pada Ahad…

“Semua mereka adalah pelajar yang hanya bergejala ringan (Kategori 1 dan 2) dan telah diasingkan untuk rawatan yang sewajarnya,” katanya dalam rumusan harian kes.

Kota Marudu merupakan daerah yang merekodkan kes baharu yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 64 kes.

Katanya petugas kesihatan sedang melakukan saringan kontak rapat di kalangan penghuni asrama sekolah di enam (6) buah sekolah dan institusi pendidikan di Sabah.

“Ini menunjukkan ke arah kemungkinan bahawa lebih banyak kluster yang melibatkan institusi pendidikan akan muncul. Keputusan dan kesimpulan muktamad akan diketahui dalam satu-dua hari akan datang,” jelasnya.

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun…

Dalam pada itu, Kluster Jalan Binunuk di Beaufort yang merupakan kluster jenis tempat kerja, melibatkan seorang kakitangan wanita RISDA Beaufort yang berumur 34 tahun.

“Beliau disahkan positif pada Sabtu. Saringan keatas kontak rapat dikalangan rakan sekerja dan ahli keluarga mendapati 13 orang lagi telah dijangkiti…

“Jangkitan dipercayai berpunca daripada mesyuarat yang melibatkan jumlah yang ramai dalam satu fasiliti yang sama,” kata Masidi.

Satu lagi kluster tempat kerja dan berisiko tinggi di daerah Beaufort – Kuala Penyu yang dinamakan Kluster Montenior melibatkan petugas kesihatan wanita berumur 37 tahun yang yang tinggal di Kuala Penyu.

“Indeks kes disahkan positif pada 12 Januari lalu dan saringan yang dibuat seterusnya dikalangan kontak rapat mendapati 24 orang daripada kontak generasi pertama, 17 orang daripada kontak generasi kedua dan dua (2) orang kontak generasi ketiga juga telah dijangkiti…

“Mereka adalah terdiri daripada rakan sekerja indeks kes dan ahli keluarga kakitangan kesihatan. Semua yang terlibat telah dikuarantin untuk menjalani rawatan,” jelas Masidi.

Tiga (3) pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 3, dan masing-masing satu (1) kes berada dalam Kategori 4 dan 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah semalam (26 Jan 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Marudu – 64 (15)
Penampang – 41 (16)
Tuaran – 40 (34)
Kota Kinabalu – 40 (61)
Sandakan – 34 (68)
Ranau – 22 (7)
Papar – 15 (15)
Beaufort – 14 (39)
Keningau – 13 (3)
Tawau – 13 (16)
Kota Belud – 12 (5)
Putatan – 8 (7)
Beluran – 6 (2)
Kuala Penyu – 3 (0)
Tenom – 3 (2)
Lahad Datu – 2 (11)
Kinabatangan – 2 (2)
Telupid – 1 (1)
Kunak – 1 (3)
Pitas – 1 (2)
Semporna – 0 (0)
Tambunan – 0 (2)
Nabawan – 0 (0)
Sipitang – 0 (1)
Tongod – 0 (1)
Kalabakan – 0 (0)
Kudat – 0 (1)