Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa ibu pelajar A (kanak-kanak tertuduh dalam kes buli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir) telah menghantar surat cuti sakit pelajar A sebanyak dua kali sebelum akhirnya meninggalkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh saksi kelapan, Ketua warden asrama sekolah berkenaan, Azhari Abd Sagap pada prosiding inkues kematian Zara.
Ketika disoal peguam pihak berkepentingan, Joan Goh (mewakili kanak-kanak tertuduh), saksi mengesahkan menerima mesej dan salinan sijil cuti sakit yang dihantar oleh ibu Pelajar A pada hujung Julai dan awal Ogos lalu.
“Pada 28 Julai, ibu Pelajar A hantar surat cuti sakit daripada Klinik Kesihatan Labuan untuk tempoh 28 Julai hingga 4 Ogos. Kemudian pada 7 Ogos, beliau sekali lagi hantar sijil cuti bermula 8 hingga 18 Ogos,” katanya.
Azhari turut memaklumkan pada 11 Ogos, ibu Pelajar A menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan hasratnya mengambil semua barang milik anaknya di sekolah.
“Beliau ucapkan terima kasih kerana menjaga anaknya sepanjang bersekolah di sini, dan mohon maaf jika sering mengganggu,” jelasnya.






