
KOTA KINABALU, SABAH – Hasil Siasatan Forensik Bomba mengenal pasti punca kebakaran rumah teres di Taman Hungab, Penampang, tiga hari yang lalu disebabkan bebanan elektrik di tingkat bawah rumah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri (JBPM) Sabah, PKPjB Mohd Ali Ismail berkata, berikutan ini, bebanan api yang berlebihan menyebabkan api merebak dengan lebih cepat.
“Jangkaan api bermula merebak adalah pada jam 2:32 pagi. Mangsa dipercayai tidak berjaya menyelamatkan diri kerana bahagian bawah rumah telah dipenuhi api dan semua tingkap dan pintu keluar adalah berjerigi serta berkunci,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Dalam pada itu pihaknya menzahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah ke atas keluarga mendiang empat sekeluarga iaitu Matthew Wong (50), Jecky Vun Kon Fung (47), serta dua anak mereka iaitu Brendan Wong (18) dan Eric Wong (15) yang terkorban.
Kejadian itu telah menjadi isu hangat terutama di kalangan warga Sabah serta menarik perhatian pemimpin peringkat tertinggi negara berkenaan isu tindakbalas kecemasan serta tatacara penyampaian maklumat kecemasan kepada agensi tindakbalas.
“Pihak JBPM telah selesai menjalankan siasatan penuh dan juga post mortem dari semua aspek termasuklah aspek tindakbalas kecemasan sehari selepas kejadian kebakaran tersebut…
“Penyaluran maklumat Mendapati bahawa terdapat empat (4) panggilan yang diterima oleh pihak Pusat Panggilan MERS999, Melakam yang mana panggilan pertama yang diterima adalah pada jam 2:49:01 pagi dan panggilan yang kedua pada jam 2:49:02 pagi.
“Terdapat 3 Pusat Panggilan di seluruh Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching yang mana salah satu pusat panggilan akan menerima panggilan kecemasan melalui panggilan 999.
“Pada peringkat awal petugas Pusat Panggilan MERS 999 telah mendapatkan 4 maklumat asas iaitu berkenaan nama pemanggil, nombor telefon pemanggil, jenis kecemasan dan alamat lokasi kejadian.
“Maklumat tersebut telah disalurkan melalui Sistem Penghantaran Terbantu Komputer kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM, Sabah dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang yang mana pihak JBPM telah menerima maklumat tersebut pada jam 2:52:21 pagi dan telah menggerakkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kebakaran tersebut.
“Dalam masa yang sama, petugas Pusat Panggilan MERS999 masih lagi meneruskan panggilan untuk mendapatkan maklumat tambahan berdasarkan Protokol Kebakaran yang mana maklumat tambahan ini disalurkan kepada PGO JBPM Sabah dari masa ke semasa,” katanya.
Kata Ali, maklumat berkenaan akan dapat membantu pihak JBPM merancang strategi tindak balas operasi sebelum panggilan tersebut dipanjangkan kepada PGO JBPM Sabah.
“Terdapat dua (2) panggilan berkenaan kebakaran tersebut telah disambung ke PGO JBPM Sabah. Masa pasukan bomba tiba ke tempat kejadian berdasarkan rekod, pasukan bomba dari BBP Penampang telah tiba ditempat kejadian pada jam 03:04 pagi…

“Kelewatan ini adalah diakibatkan oleh Nota Panggilan yang dicetak tertera alamat yang tidak tepat yang telah diberi oleh salah seorang pemanggil pada awal pagi tersebut, menyebabkan pasukan bomba tersasar dan terpaksa mendapatkan maklumat sebenar untuk ke lokasi kebakaran sebenar,” jelasnya.
Dan semasa ketibaan pada lokasi, pasukan bomba mendapati bahawa api telah merebak di aras bawah dan atas rumah.