Jadual Pembayaran Bon Sudah Disusun Sejak 2014, Warisan Hanya Laksana Satu Fasa

Jadual Pembayaran Bon Sudah Disusun Sejak 2014, Warisan Hanya Laksana Satu Fasa

0
SHARE
Masidi
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun...

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menolak kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang menggambarkan pembayaran balik Bon Kerajaan Negeri Sabah berjumlah RM1 bilion pada 2019 sebagai pencapaian luar biasa pentadbiran Warisan.

Menurut Masidi, pembayaran itu adalah kewajipan kontrak yang telah dirancang sejak 2014, susulan syarat Bank Negara Malaysia supaya kerajaan negeri menubuhkan Kumpulan Wang Amanah (Sinking Fund) bagi memastikan bayaran penuh dibuat apabila bon matang.

“Pembayaran itu bukan tindakan sukarela atau hasil usaha dalam tempoh setahun.

“Ia adalah sebahagian daripada disiplin kewangan yang diwujudkan sejak 2014, tanpa mengira siapa yang memerintah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan dana tersebut telah dikumpul secara berperingkat iaitu RM2 juta pada 2016, RM200 juta pada 2017, RM400 juta pada 2018, dan RM380 juta pada 2019. Baki RM18 juta diperoleh daripada faedah pelaburan.

Masidi juga menolak tuduhan bahawa RM500 juta daripada bon tersebut dibelanjakan di negeri lain, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

“Rekod rasmi menunjukkan dana digunakan sepenuhnya di Sabah, termasuk RM544 juta untuk membayar balik bon 2009 dan RM456 juta untuk program pembangunan negeri.

“Rakyat Sabah berhak mendapat maklumat yang telus, jelas, tepat dan benar, bukannya naratif politik yang mengelirukan,” tambahnya.