KENINGAU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bakal menguji kekuatan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menampilkan Gundohing Peter Paun, bekas pegawai kanan Jabatan Pendidikan Sabah yang juga pernah berkhidmat sebagai pengetua dan pegawai cemerlang sebagai calon.
Menurut laporan Jesselton Times, Peter menerima sokongan padu daripada Ketua Bahagian KDM Keningau, Datuk Chin Hon Shu, selain mendapat dukungan badan-badan NGO, komuniti Tionghua serta bekas pelajar.
Kawasan DUN Liawan yang turut merangkumi bandar Keningau dilihat sebagai medan utama pertembungan dengan penyandang, Datuk Anuar Ayub Aman daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam laporan sama, Peter dikatakan optimis bahawa peluang KDM semakin cerah berdasarkan kecenderungan pengundi Liawan yang kini memilih parti lokal tanpa ikatan dengan parti nasional.
“Saya sudah bersedia bertarung atas tiket KDM. Perancangan dan persiapan awal telah dilakukan, malah jentera pilihan raya juga sudah dibentuk dan bersedia berkhidmat pada bila-bila masa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sepanjang perkhidmatannya dalam sektor pendidikan, Peter pernah memegang jawatan pengetua di beberapa sekolah serta berkhidmat sebagai pegawai kanan di Jabatan Pendidikan Negeri sebelum bersara. Pengalamannya itu dijadikan landasan untuk membangunkan DUN Liawan jika diberi mandat.
Antara isu yang dibangkitkan oleh penduduk setempat termasuk penyelenggaraan infrastruktur yang lemah, kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing, masalah banjir serta longkang yang tidak diurus dengan baik.
Peter bertekad melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi mengindahkan bandar Keningau dan merancakkan ekonomi pedalaman.
Beliau turut menyasarkan pembangunan DUN Liawan sebagai pusat komersial utama pedalaman, contoh dari segi pengurusan dan tadbir urus cekap, selain membangunkan sektor agro pelancongan dan memperkasa program “Satu Kampung, Satu Produk”.
“Saya mahu menjadikan Liawan sebagai DUN terbaik di Sabah, yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, tetapi menjadi model kepada DUN lain dalam urus tadbir yang cekap, cepat dan efisien,” katanya.






