JKM Teruskan Pendaftaran Mangsa Kebakaran Di Batu 4 Tawau

JKM Teruskan Pendaftaran Mangsa Kebakaran Di Batu 4 Tawau

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendaftarkan seramai 1,187 orang yang melibatkan 174 keluarga mangsa kebakaran besar baru-baru ini di Kg. Hidayat, Batu 4 Jalan Apas setakat jam 3.45 petang, Ahad.

Pendaftaran masih berlangsung dan bersambung sehingga hari ini, Isnin.

Daripada rekod terbabit, 96 adalah Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia dan 78 KIR lagi merupakan bukan warganegara yang memiliki dokumen tertentu seperti IMM13 dan pasport.

Jumlah mangsa warganegara adalah seramai 660 yang terdiri daripada 352 lelaki termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 308 wanita. bayi dan kanak-kanak lelaki/perempuan berusia sehingga 12 tahun adalah seramai 167 orang.

Mangsa bukan warganegara pula seramai 527 iaitu 258 lelaki dan 269 wanita. Jumlah itu termasuk 156 bayi dan kanak-kanak lelaki/perempuan yang berusia sehingga 12 tahun.

Dalam pada itu, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan untuk para mangsa kebakaran yang masih dalam proses pendaftaran di rumah Ketua Kampung tersebut sejak bermula jam 9.45 pagi.

Bantuan yang diberikan termasuklah air mineral, pakaian terpakai, satu tan ikan mentah dan makanan sudah masak (berbungkus).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana, Hussain Mohd Noor berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan bahan mentah seperti beras, makanan dalam tin, air mineral, peralatan mandi dan sebagainya daripada warga prihatin.

“Apabila pusat pemindahan sudah diputuskan kelak (dengan cadangan pusat di Batu 2), kita memerlukan sumbangan seperti selimut, bantal, tilam dan pakaian untuk mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Mary Yap Kain Ching yang turun padang melawat pusat pendaftaran dan tapak kebakaran pula memberitahu bahawa pihaknnya akan menyalurkan sumbangan kecemasan dalam masa terdekat.

“Kita belum putuskan (jumlahnya) tapi pastinya dengan amaun yang munasabah… Kita akan adakan perbincangan lanjut dengan wakil rakyat Balung dan Apas berhubung bantuan tersebut,” katanya yang turut menyumbangkan 100 kotak air mineral dari Pejabat Parlimen Tawau.

Sambil menyifatkan tragedi kebakaran besar itu cukup menyedihkan apatah lagi berlaku di musim perayaan, beliau lega kerana tiada kemalangan jiwa dan insiden terbabit menyatu-padukan rakyat dalam usaha membantu satu sama lain.

“Kita lihat ramai rakyat prihatin serta agensi/jabatan kerajaan turut menyalurkan bantuan dan kita harap usaha ini berterusan untuk meringankan kesusahan mangsa,” katanya yang menggesa mereka bersabar dengan ujian Tuhan.

Turut tampil menyalurkan bantuan awal adalah 35 sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Cawangan Tawau, berupa keperluan harian hasil kutipan daripada masyarakat daerah ini dan ahli-ahli Parti PAS.

Selain JKM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), agensi/jabatan yang terlibat semasa proses pendaftaran bantuan mangsa pada Ahad adalah Klinik Kesihatan Tawau, Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD), Rejimen Sempadan, Bomba, UMNO Tawau, Wanita UMNO Tawau, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Unit Penempatan Jabatan Ketua Menteri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika ini, mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Kg. Hidayat dan ruang legar Masjid Nurul Hidayah Kg. Hidayat selain menumpang di rumah keluarga masing-masing.

– HarianEkspres