Rafizi Tegur Zaid Dan Beri Alasan Mengapa Anwar Patut Jadi PM

Rafizi Tegur Zaid Dan Beri Alasan Mengapa Anwar Patut Jadi PM

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Biarpun apa yang dikatakan sesetengah orang, bagi Rafizi Ramli, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap relevan dalam politik Malaysia.

Menegur bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, Rafizi berkata, tidak ada mana-mana ahli politik di negara ini yang melalui ujian seperti Anwar.

Naib presiden PKR itu juga menyatakan, Anwar adalah tokoh mencetuskan imaginasi rakyat serta melakukan sesuatu yang tidak terfikir sebelum ini, iaitu menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Anwar juga, kata Rafizi, mengetuai pakatan pembangkang memenangi undi popular mengatasi BN pada PRU ke-13 lepas.

“Paling penting tiada sesiapa di kalangan ahli politik di negara ini masuk penjara dua kali kerana ingin memastikan sebuah kerajaan yang adil untuk rakyat terus hidup.

“Saya tidak terhutang budi kepada Anwar dan saya ada rekod menegur pemimpin lain PKR, tetapi tiada siapa yang yang sudah teruji seperti Anwar,” katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi mengulas kenyataan Zaid hari ini yang membidas tindakan pemimpin PKR membawa sepanduk “Anwar PM ke-7” pada akhir kongres parti itu semalam.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan berkenaan dianggap pengisytiharaan bahawa ketua umum PKR itu akan diangkat sebagai perdana menteri akan datang.

“Mereka sentiasa terlalu yakin dengan kemampuan sendiri,” katanya.

Rafizi berkata berdasarkan kajian I-CPI yang didedahkan bulan lalu, sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah kumpulan sama yang memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 lalu.

“Maknanya, sebahagian besar pengundi HARAPAN adalah orang yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

“Ia disahkan oleh satu lagi kajian yang dijalankan antara Februari dan pertengahan Mei membabitkan lebih 10,000 responden.

“Anwar mendapat undi tertinggi berbanding pemimpin lain dalam pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Satu lagi faktor, kata Rafizi, ialah hakikat Anwar satu-satunya pemimpin yang menerima sokongan daripada semua kaum di negara ini.

Awalnya, kata anggota parlimen Pandan itu, beliau tidak mahu mendedahkan keputusan kaji selidik berkenaan namun disebabkan polemik yang timbul baru-baru ini, ia akan dilakukan minggu depan.

“Saya harap pemimpin-pemimpin politik dan pengulas akan mula membuat penilaian politik yang bermaklumat berdasarkan data daripada orang biasa.

“Saya juga berharap ia menjawab persoalan sama ada Anwar masih relevan atau tidak. Walaupun berada di sebalik penjara, lelaki ini masih menjadi orang paling diyakini ramai dan pemimpin pembangkang paling popular.

“Jika Anwar berada di luar penjara, tidak syak lagi beliau adalah pilihan ramai. Untuk menafikan sentimen awam bahawa Anwar adalah mangsa penganiayaan politik bermakna menolak pandangan majoriti penyokong HARAPAN,” katanya.

– M.Kini