TAWAU, SABAH – Seramai 108 orang penduduk Pulau Sebatik yang positif COVID-19 telah dipindahkan ke pusat kuarantin dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata proses pemindahan pesakit ini melibatkan beberapa lokaliti di Pulau Sebatik iaitu Kampung Bergosong, Kampung Sungai Tongkang, Kampung Mentadak, Kampung Lahat-Lahat dan Kampung Wallace Bay.
“Pergerakan pesakit diselaraskan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengaturkan beberapa siri perjalanan mengikut jumlah kes positif di kawasan Pulau Sebatik dengan menggunakan bot peronda…
“Bantuan pengangkutan ini disediakan bagi melancarkan proses pengasingan pesakit positif COVID-19 yang akan menjalani kuarantin dan rawatan susulan di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata setiap anggota yang bertugas dibekalkan dengan peralatan pakaian perlindungan diri (PPE) manakala langkah-langkah keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya serta proses sanitasi bot dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan risiko jangkitan semasa dalam tugasan.
“Kesemua pesakit dibawa dari Pulau Sebatik dan diturunkan di jeti Yatch Club Tawau sebelum dibawa menaiki ambulan oleh kakitangan KKM ke Pusat Kuarantin sejak berlaku peningkatan kes membabitkan kawasan Pulau Sebatik…
“Ini merupakan salah satu usaha Maritim Malaysia bagi membantu KKM dalam menguruskan pesakit positif COVID-19, terutamanya melibatkan komuniti maritim,” ulas beliau.
Katanya lagi kerjasama semua agensi yang terlibat dalam menguruskan hal-hal berkaitan pandemik COVID-19 dilihat satu bentuk usaha bagi membantu pihak kerajaan dalam menangani krisis ini.