Acara Unduk Ngadau Satukan Seluruh Rakyat Sabah, Naikkan Martabat Wanita Muda

Acara Unduk Ngadau Satukan Seluruh Rakyat Sabah, Naikkan Martabat Wanita Muda

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Acara Unduk Ngadau telah menyatukan seluruh rakyat Sabah dan dalam masa yang sama telah menaikkan martabat para wanita muda yang ada di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata acara yang sangat sinonim dengan perayaan Kaamatan itu mengisahkan pengorbanan seorang gadis iaitu Huminodun.

“Kisah itu telah menjadi inspirasi wanita yang melampaui zaman melalui kualiti diri sebagai seorang wanita, anak dan ciri pemimpin muda yang sanggup berkorban diri untuk kebaikan semua orang…

“Nilai diri Huminodun sebagai Unduk Ngadau sebenar menjadi contoh terbaik kepada leluhur Kadazandusun di seluruh pelosok dunia,” katanya dalam ucapan perasmian webinar ‘Unduk Ngadau: Tradisi dan Amalan Budaya Masyarakat Kadazandusun di Sabah’ hari ini.

Katanya kualiti dan status wanita sebagai pemimpin dalam kalangan masyarakat Kadazadandusun amat disanjung tinggi sejak dari dulu lagi.

“Peranan wanita dalam aspek spiritual, ekonomi, sosial malahan politik amat ketara dalam kalangan masyarakat Kadazandusun sehingga ke hari ini…

“Namun tidak dapat dinafikan bahawa, perubahan masa kesan arus pemodenan pada masa kini telah sedikit sebanyak menghakis kefahaman tentang kepentingan institusi Unduk Ngadau dalam masyarakat,” tambah beliau.

Webinar budaya tersebut sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang diraihkan seluruh dunia pada setiap 9 Ogos turut disertai Borneo Indigenous People Organisation (BIO) Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations).

Seramai enam (6) panel akan memberi perkongsian mereka yang memfokuskan peranan wanita dan Unduk Ngadau dalam masyarakat kata Jeffrey.