Seramai 15 Orang Ditahan Rentas Negeri Dengan Surat Kebenaran Palsu

Seramai 15 Orang Ditahan Rentas Negeri Dengan Surat Kebenaran Palsu

0
SHARE

GUA MUSANG, KELANTAN – Polis menahan 15 warga Myanmar di sekatan jalan raya Kampung Tanah Putih, dekat sini, kerana melakukan rentas negeri dengan membawa surat kebenaran palsu, Isnin lalu.

Warga asing terbabit iaitu 13 lelaki dan dua wanita ditahan kira-kira jam 3 petang turut mempunyai dokumen perjalanan tamat tempoh.

Memetik kenyataan pada BH Online, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mereka ditahan ketika menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur menghala ke Rantau Panjang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua warga asing itu ingin pulang ke negara asal melalui Kelantan sebelum memasuki ke Thailand.

“Pemeriksaan dibuat terhadap 15 warga Myanmar itu mendapati dokumen perjalanan yang dikemukakan mereka sudah tamat tempoh, manakala permit rentas negeri mereka yang dikeluarkan pihak di Kuala Lumpur juga didapati palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, hari ini.

Choon Foo berkata, warga asing terbabit dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut, manakala bas ekspres bersama penumpang lain dibenar meneruskan perjalanan.

Katanya, 15 warga Myanmar merentas negeri membawa permit palsu melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang itu adalah kes pertama ditangkap setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 420 kanun keseksaan.