61 Gereja Dalam DUN Melalap Terima Sumbangan Krismas Dari Kerajaan Negeri

61 Gereja Dalam DUN Melalap Terima Sumbangan Krismas Dari Kerajaan Negeri

0
SHARE

TENOM: Sebanyak 61 buah gereja dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap menerima sumbangan Krismas daripada Kerajaan Negeri Sabah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap kepelbagaian sambutan perayaan agama di negeri ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ikhlas kepada gereja-gereja di bawah Majlis Gereja Sabah yang diadakan di Dewan MRSG Wancher St. Anthony, di sini, pada Ahad.

Jamawi berkata, sambutan Krismas bukan sekadar perayaan keagamaan, malah melambangkan semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama di Sabah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dengan memberi perhatian dan sokongan kepada semua komuniti agama demi memelihara keharmonian sosial.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap komuniti agama terus dihargai dan diberi ruang menyambut perayaan masing-masing dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berharap masyarakat di DUN Melalap terus berganding bahu, saling menghormati serta hidup bersatu padu demi kesejahteraan bersama.

Pada majlis itu, Jamawi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2026 kepada seluruh rakyat di kawasannya dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan perjalanan sempena musim perayaan.

Jamawi bersama isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim turut menjemput orang ramai serta ahli jemaah gereja menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas DUN Melalap 2025 yang akan berlangsung di Dewan Terbuka OKK Datuk Sanggau Jalang pada 28 Disember ini bermula jam 11.30 pagi.

Pengerusi Penganjur Majlis Rumah Terbuka Krismas DUN Melalap 2025 ialah Alfhonso Fiel.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Gereja Tenom, Aidah John merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Jamawi atas sumbangan Krismas yang disalurkan, selain berharap bantuan berterusan dapat diberikan khususnya bagi membangunkan gereja-gereja daif di kawasan DUN Melalap.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Daerah Tenom, Tusib Tulas serta kepimpinan gereja setempat.

Selepas majlis itu, Jamawi turut menyantuni 147 Ketua Markas Pilihan Raya DUN Melalap di Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.42 Melalap sempena sambutan Krismas.