KOTA MARUDU: Dua individu cedera parah manakala dua lagi selamat dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kampung Mangaris 3, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.23 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan sebuah Perodua Bezza.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.39 petang dan operasi berjaya dikawal serta ditamatkan pada jam 3.54 petang.
Ketua Balai BBP Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi berkata, terdapat dua mangsa di dalam kenderaan Perodua Axia yang mengalami kecederaan parah namun tidak tersepit.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas iaitu scoop stretcher sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera parah itu kemudian dihantar ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, dua mangsa dari kenderaan Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Kota Marudu dengan sebuah jentera FRT serta dibantu agensi lain iaitu KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Maklumat mangsa mendapati seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang wanita berusia 44 tahun yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki berusia 36 tahun serta seorang wanita yang menaiki Perodua Bezza dilaporkan selamat.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya.






