KOTA BELUD: Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang digesa agar lebih aktif menceburi sektor perindustrian dan keusahawanan di Sabah, khususnya di kawasan Kadamaian, sebagai rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi rakyat.
Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penglibatan alumni dalam sektor berkenaan penting bagi mewujudkan peluang pendapatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.
“Saya berharap alumni SMK Narinang menjadi sebahagian daripada sektor perindustrian dan keusahawanan Sabah termasuk di Kadamaian sendiri,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar SMK Narinang di dewan sekolah berkenaan, di sini, pada Ahad
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 menjadi landasan pembangunan holistik kawasan itu, selari dengan pendekatan baharu Dasar ‘Sabah First’ yang diterapkan di MINDET.
Menurutnya, kementerian berkenaan memberi fokus untuk membantu lebih ramai rakyat Sabah memperoleh pendapatan sama ada sebagai usahawan atau pekerja dalam sektor keusahawanan dan perindustrian.
“Saya percaya alumni SMK Narinang mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ini,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SMK Narinang bagi membantu keperluan pentadbiran persatuan.
Selepas itu, Ewon menyempurnakan penutupan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 anjuran Sekolah Rendah Adventist (SRA) Rangalau, Kadamaian, sambil memuji peranan sekolah mubaligh dalam menjayakan inisiatif sukan di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada SRA Rangalau bagi melengkapkan keperluan sukan bola sepak serta menegaskan komitmennya untuk meneruskan pemberian geran aktiviti tahunan kepada semua sekolah di kawasan DUN Kadamaian.
Selain itu, hadiah tambahan turut disampaikan kepada enam pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan.






