Darvel Bay Plaza Lahad Datu Bakal Berwajah Baharu

Darvel Bay Plaza Lahad Datu Bakal Berwajah Baharu

0
SHARE

LAHAD DATU: Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dan Sabah Urban Development Corporation (SUDC) bertekad menghidupkan semula Darvel Bay Plaza melalui pelan pemulihan menyeluruh bagi memulihkan operasi, nilai dan keyakinan terhadap pusat komersial utama Lahad Datu itu.

Usaha bersepadu itu diumumkan dalam sesi townhall bersama pemilik dan penyewa, diketuai Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Ar. James Wong Kein Peng serta Ketua Pegawai Eksekutif SUDC Datuk Afizal Aldin dan Pengurus Besar SUDC Anthony Undan Dumpangol para Rabu.

James berkata, SEDCO dan SUDC telah menyalurkan dana sendiri bagi mengekalkan operasi pusat itu namun keadaan tersebut tidak lagi mampan.

Beliau turut mendedahkan tunggakan yuran pengurusan mencecah hampir RM3 juta akibat kegagalan pemilik membayar sumbangan masing-masing.

“Tanpa kerjasama dan bayaran pengurusan daripada pemilik, penyelenggaraan tidak dapat diteruskan dengan baik,” katanya.

Pelan pemulihan yang dibangunkan bersama TS Wong Biz Solutions itu memberi tumpuan kepada peningkatan penyelenggaraan, pengurusan penyewa, serta pengalaman pengunjung di samping memastikan ketelusan kewangan.

SEDCO dan SUDC yakin dengan sokongan semua pihak, Darvel Bay Plaza mampu dipulihkan menjadi pusat komersial dinamik yang memberi manfaat kepada pelabur, peniaga dan komuniti Lahad Datu.