RAUB: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu bagi memastikan permainan dalam talian dan aplikasi media sosial lebih selamat, khususnya untuk pengguna bawah umur.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan awam mengenai keselamatan kanak-kanak selepas insiden membabitkan permainan dalam aplikasi Roblox yang menyebabkan seorang kanak-kanak cedera parah di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.
Menurutnya, kementerian sedang menilai keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 permainan dalam talian termasuk Roblox, Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials, yang disifatkan tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.
“Kami sedang mengkaji rangka kerja kawal selia paling sesuai dan berkesan. Buat masa ini tiada keputusan rasmi, tetapi kami tidak boleh berdiam diri,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Fahmi turut mendedahkan bahawa beliau sendiri telah mengarahkan anak-anaknya berhenti menggunakan aplikasi Roblox, sambil menegaskan bahawa sesetengah permainan mengandungi unsur jenayah, pembunuhan, perjudian dan ganjaran maya untuk tindakan ganas yang boleh memberi kesan negatif kepada minda serta emosi kanak-kanak.
Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dijangka berkuat kuasa awal tahun depan bagi mewajibkan penyedia platform memastikan persekitaran digital yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Selain itu, SKMM turut meneliti keperluan melesenkan aplikasi sosial lain seperti Omi serta memperketat proses pengesahan umur dan identiti pengguna.
Minggu depan, SKMM dijadual ke Singapura untuk berbincang dengan syarikat media sosial mengenai pelaksanaan sistem eKYC (Electronic Know Your Customer).
Fahmi turut mengingatkan ibu bapa agar memantau aktiviti dalam talian anak-anak dengan lebih dekat bagi mencegah pendedahan kepada kandungan berisiko tinggi di platform permainan dan media sosial.






