Datuk Seri Vida Hilang 727 Harta, Termasuk Kenderaan Mewah, Dilelong RM1 Juta

Datuk Seri Vida Hilang 727 Harta, Termasuk Kenderaan Mewah, Dilelong RM1 Juta

0
SHARE

IPOH: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, kehilangan sebanyak 727 harta miliknya selepas semuanya dilelong dengan nilai keseluruhan RM1 juta dalam satu sesi lelongan yang berlangsung di kediamannya di Meru Heights, Ipoh, hari ini.

Proses lelongan yang dijalankan di banglo mewah Vida itu bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir sekitar jam 1.40 tengah hari.

Lelongan dikendalikan oleh pelelong berlesen, S. Punithawathi, dan disertai dua pembida sebelum dimenangi oleh usahawan Norzamri Abdullah selepas seorang lagi pembida menarik diri.

“Kita hanya mempunyai seorang pembida yang mendaftarkan diri, dan semua barangan dalam senarai perisytiharan jualan ini dijual dengan harga RM1 juta,” kata Punithawathi ketika mengumumkan keputusan lelongan tersebut.

Antara 727 barangan yang disenaraikan termasuk tiga kenderaan mewah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace, dan BMW X7, selain pelbagai barangan perabot, elektrik dan hiasan rumah seperti set sofa, meja makan, almari kaca, peti sejuk, penyaman udara serta permainan video.

Acara lelongan turut dihadiri plaintif kes yang juga subkontraktor, Mohamad Taufik Kamarul Bari, bersama peguamnya, Samir Zainal Zainal. Namun, Datuk Seri Vida dan keluarganya tidak hadir ke lokasi lelongan dan hanya diwakili oleh peguam.

Proses lelongan itu dilaporkan tertangguh hampir setahun sejak Disember 2024 susulan kegagalan Datuk Seri Vida melunaskan bayaran tertunggak kepada syarikat subkontraktor AH Design Communication.

Permohonan beliau untuk menangguhkan proses lelongan atas alasan barangan yang disita adalah pinjaman turut ditolak oleh mahkamah.