KOTA KINABALU: Institusi pendidikan tinggi tempatan tiada pilihan selain menerima inovasi kecerdasan buatan (AI) selaras dengan perkembangan teknologi global, namun kerajaan perlu segera menggubal akta kawalan keselamatan akses digital bagi menjamin aspek etika dan kemanusiaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, negara kini berdepan kekurangan lebih 10,000 jurutera dan pakar AI tempatan, sekali gus menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam sistem pendidikan dan latihan.
Menurut beliau, walaupun terdapat universiti tempatan yang telah menubuhkan fakulti berkaitan AI, institusi seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) wajar merentasi bidang tersebut dalam kurikulum latihan bagi melahirkan lebih ramai anak Sabah yang menguasai teknologi pintar.
“Selain KTYS, pusat latihan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga berpotensi memperkenalkan modul AI sebagai sebahagian daripada program akademik,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Masiung menegaskan pembangunan bakat AI tidak harus tertumpu kepada aspek teknikal semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan jati diri, sahsiah dan nilai moral.
“Kepakaran tinggi dalam AI perlu dimanfaatkan seiring peredaran masa, namun nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan tanpa kawalan undang-undang yang jelas,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pengaruh AI kini semakin meluas di seluruh dunia sejajar dengan revolusi industri dan perubahan dalam tadbir urus pembangunan negara.
Sehubungan itu, Masiung menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membangunkan teknologi berasaskan AI secara merentas universiti dan institusi pengajian tinggi awam, selain menggalakkan lebih ramai belia khususnya di Sabah menceburi bidang kecerdasan buatan bagi memenuhi keperluan tenaga pakar negara.






