Penduduk Bukan Warganegara Di Sabah Menurun 0.32 Peratus Pada 2025

Penduduk Bukan Warganegara Di Sabah Menurun 0.32 Peratus Pada 2025

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bilangan penduduk bukan warganegara (BWN) di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 0.32 peratus pada tahun 2025, kepada 1.040.2 juta orang berbanding 1.043.6 juta orang pada 2024, menurut penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM memaklumkan Sabah masih merekodkan jumlah penduduk bukan warganegara tertinggi berbanding negeri-negeri lain sejak 1991, dengan peratusan tertinggi dicatatkan pada tahun 1991 iaitu 56.5 peratus.

Walau bagaimanapun, jumlah tertinggi BWN di negeri ini pernah direkodkan pada 2018 iaitu seramai 1.158.7 juta orang, dan angka 2025 masih berada di bawah paras tersebut.

Tempoh 2020 hingga 2022 menunjukkan perubahan ketara akibat pandemik COVID-19, apabila bilangan penduduk bukan warganegara di Malaysia dan Sabah masing-masing menurun kepada 2.56 juta dan 0.78 juta orang pada 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik.

Bagi taburan daerah, Sandakan merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi pada 2025 dengan 195.1 ribu orang, diikuti Tawau (142.9 ribu) dan Kota Kinabalu (125.4 ribu).

Dari segi komposisi penduduk pula, Kinabatangan mencatatkan peratusan BWN tertinggi iaitu 72.9 peratus, diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus).

Walaupun jumlah keseluruhan BWN di Sabah menurun, Kota Kinabalu merekodkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 2.9 peratus pada 2025 berbanding 16.4 peratus pada 2024.

Peningkatan ini dikaitkan dengan pemulihan pasca pandemik, termasuk kemasukan tenaga kerja dan pelajar antarabangsa, namun jumlah tersebut masih lebih rendah berbanding paras pada 2018.

DOSM menjelaskan anggaran penduduk ini disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun menggunakan konsep de jure, iaitu individu yang menetap atau dijangka menetap sekurang-kurangnya enam bulan di sesuatu kawasan.

Statistik ini tidak mengambil kira populasi siang atau malam yang berada sementara di sesuatu kawasan bagi tujuan bekerja, perniagaan atau lawatan.